Sejauh manakah karya sastera India seperti epik Mahabrata dan Ramayana mempengaruhi karya sastera Melayu?
Epik Mahabharata
Epik Mahabharata dicipta dan dihasilkan oleh Vyasa antara tahun 400SM dan 400 Masihi. Karya ini mengandungi lebih kurang 100 000 seloka (puisi) dan merupakan karya puisi yang terbesar di dunia.
Epik ini berkisar kepada kisah pemerintahan kerajaan Kurukshetra di India Utara. Tema utama Mahabharata adalah berkaitan dengan peperangan besar di antara Pandava dengan Kaurava tetapi epik ini sengaja diperluaskan dengan pelbagai jenis cerita sisipan. Cerita-cerita sisipan ini berperanan sebagai didaktik, memberi ajaran-ajaran agama dan moral. Sebab itulah Mahabharata dianggap sebagai itihasa (yang membincangkan sembilan jenis emosi dan matlamat kehidupan); purana (cerita-cerita tentang dewa-dewi); akhyana (yang mengandungi lagenda- lagenda dan mitos); dharmasastra (yang mengajar tentang pelbagai jenis dharma); arthasastra (karya-karya yang menyentuh perkara-perkara kerajaan dan pemerintahan); kamasastra (yang membincangkan percintaan); nitisastra (yang menekankan idea-idea etika); dan moksasastra (membincangkan cara-cara membebaskan diri daripada kelahiran semula).
Dari sudut pandangan biasa Mahabharata merupakan peristiwa benar tentang satu peperangan antara dua pihak yang menuntut takhta kerajaan. Sekiranya dilihat dari segi etika peperangan ia mewakili konflik prinsip dharma dan adharma, iaitu antara kebaikan dengan kejahatan ataupun keadilan dengan ketidakadilan tetapi pada akhirnya kejayaan adalah kepada pihak yang mendukung dharma.
Bhagavadgita (BG)
Antara ajaran agama yang terdapat dalam Mahabharata, perbincangan mengenai falsafah yang terkandung dalam Bhagavadgita menduduki tempat yang penting dalam koleksi pemikiran falsafah India. Sebelum tercetusnya peperangan antara Pandawa dengan Kaurava, Arjuna (kumpulan Pandava) menghadapi konflik jiwa kerana beliau terpaksa membunuh sanak saudara dan ahli-ahli keluarganya. Sri Krishna yang berperanan sebagai penasihat Arjuna memahami perasaan tersebut lalu mengajar intipati kebenaran suci untuk mencapal tarafhidup yang kekal abadi. Krishna menggalakkan beliau supaya bertindak tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan; dan menjelaskan bahawa medan peperangan merupakan badan manusia di mana segala peristiwa berlangsung. Duryodhana (kumpulan Kaurava) merupakan kuasa jahat yang ada dalam badan kita; Arjuna merupakan kuasa mulia (diwakili oleh hati suci, tidak gentar, tanpa egoisme); dan Krishna merupakan jiwa yang bersemayam dalam hati setiap manusia. Dengan ini, Krishna mengajar kepada Arjuna agar melawan kuasa-kuasa jahat ini.
Bhagavadgita mengajar manusia tentang svadharma atau kewajipan hidup seseorang untuk mencapai kebenaran, di samping mengesyorkan rajayoga (disiplin badan dan minda); karma-yoga (jalan tmdakan);jnanayoga (melalui pengetahuan benar) dan hhakti yoga (melalui kebaktian kepada Tuhan) sebagai jalan untuk mengenali jiwa atau Tuhan. Walau apa pun jalan yang ditempuhi, kewajipan tidak seharusnya dilaksanakan sebagai suatu dosa. Apa sahaja yang dilaksanakan hendaklah disertakan dengan kebaktian dan ianya harus ditujukan kepada Tuhan.
Epik Ramayana
Epik Ramayana dicipta dan dihasilkan oleh Valmiki, seorang pertapa di antara tahun 200SM hingga tahun 200 Masihi. Epik ini mengandungi 24 000 seloka (puisi) dan ceritanya berpusat di Ayodhya, iaitu ibu negeri kerajaan Kosala yang terletak di timur Kuruksetra. Valmiki mencipta epik Ramayana ini bertujuan untuk menggambarkan kehidupan seorang manusia yang sempurna, iaitu gambaran perwatakan yang ideal. Dalam epik ini, Rama merupakan pendukung watak yang harus diteladani oleh setiap manusia kerana beliau merupakan pendukung kewajipan, ideal pengorbanan diri, manusia yang penuh dengan kasih sayang serta pelindung kepada sesiapa sahaja yang cinta akan dharma. Rama digambarkan sebagai anak yang setia, suami yang bertanggungjawab, abang yang dihormati, rakan yang setia, penegak keadilan dan sebagainya.
Epik Ramayana, selain sebagai karya teks seni sastera dan sejarah, ia juga merupakan dharmasastra atau teks suci yang mengajar perihal keadilan. la menerangkan prinsip-prinsip abadi (sanatoria dharma) dan menjelaskan sifat-sifat ideal yang merupakan asas kepada dharma.
Karya sastera India sudah mula mempengaruhi karya sastera Melayu sejak abad yang ke-7 semasa jajahan Srivijaya. Ketika jajahan Srivijaya ada dua karya India yang teragung iaitu epik Mahabrata dan Ramayana yang membawa kepada kemasyhuran tamadun India. Kedua-dua karya tersebut merupakan panduan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan istana dan juga rakyat biasa. Karya sastera India ini telah Berjaya mempengaruhi karya sastera Melayu dengan penggunaan bahasa Sanskrit dan bahasa tamil.
Hikayat Melayu pengaruh Hindu yang terkenal ialah hikayat yang disadur secara langsung atau petikan-petikan terjemahan daripada bahagian-bahagian tertentu daripada dua buah kitab epik Hindu iaitu Mahabharata dan Ramayana. Mahabharata dikenali sebagai cerita Pendawa dalam kesusasteraan Melayu. Daripada Epik Mahabharata : Hikayat-hikayat Melayu yang disadur atau terjemahan bahagian-bahagian tertentu dikenali sebagai Pendawa dalam kesusasteraan Melayu ialah Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Panca Kelima, Hikayat Pandawa,Hikayat Sang Boma. Daripada Epik Ramayana : Hikayat Melayu yang disadur dari epik Hindu ini ialah Hikayat Seri Rama, Hikayat Maharaja Rawana. Antara contoh bahasa Sanskrit yang digunakan ialah maha, durhaka, agama, syurga, dan sebagainya. Selain memperkayakan sastera melayu, epik Mahabarata dan Ramayana juga telah mempengaruhi adat resam orang melayu. Antaranya yang masih diamalkan adalah ketika upacara perkahwinan yang mana pengantin duduk di pelamin serta diberi restu dengan beras kunyit.
ii) Sejauhmanakah masyarakat India di Malaysia pada hari ini menggunapakai karya kesusasteraan India dalam pelbagai aspek kehidupan, contohnya pendidikan, kurikulum, kesenian dan lain-lain.
Kehidupan orang India lebih terikat pada alam semula jadi dan kesenian. Dalam bidang seni halus, India telah mencapai kecemerlangan sejak awal tahun masihi lagi. Bidang muzik, tarian dan drama berkembang maju. Dalam muzik India, walaupun teori harmoni tidak begitu meluas, mereka mempunyai raga yang lebih kompleks daripada corak melodi Barat. Raga dan ragini digunakan untuk menggambarkan waktu (kala) atau sesuatu musim, perayaan dan emosi. Alat-alat muzik India terbahagi kepada empat kategori iaitu pertama, tata (tali); kedua, avanaddha (dram); ketiga, ghana (solid atau ideophone); dan keempat, susira (angin).
Tradisi kesenian India juga menunjukkan bahawa seni tarian dan seni muzik mempunyai hubungan yang erat. Antara tarian-tarian utama ialah Bharata Natyam yang penuh dengan tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap, penuh dengan kegemilangan.
India maju dalam seni logam terutamanya dalam bidang seni ukir. Pembinaan dasar menampakkan sepenuhnya ciri-ciri seni bina Islam tetapi kerja-kerja pengindahan sesuatu bangunan banyak melibatkan ciri-ciri Hindu. Tiang Asoka merupakan contoh terbaik kemegahan seni bina dan seni ukir India.
Kesusasteraan India awal menunjukkan bahawa bidang seni lukis India mencapai kemajuan pada zaman tersebut. Dinding Istana dan ruang dalaman rumah golongan berada dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menarik. Kebanyakan kuil gua (cave temples) India dihiasi dengan lukisan bersifat agama.
Bidang seni bina Tamadun India yang pernah menjadi seni bina yang teragung pada zaman dahulu seperti The Great Bath juga masih kekal sehingga ke hari ini dan turut menjadi tarikan pelancong di dalam dan luar negara. Justeru, tamadun India juga merupakan antara tamadun yang berpengaruh pada suatu ketika dahulu dan mempunyai keunikan dan kehebatannya yang tersendiri sebaris dengan tamadun-tamadun yang lain